Petua banyakkan susu ibu

10 Kesilapan Yang Boleh Menggagalkan Niat Untuk Menyusukan Dengan Susu Ibu

Bagi sesetengah orang, penyusuan susu ibu adalah sangat mudah. Berikan sahaja payudara dan anak menyusu terus tanpa sebarang masalah.

 

Namun tidak semua orang diberikan nikmat dan rezeki penyusuan yang sebegitu. Ada ibu yang terpaksa bersusah payah untuk mendapatkan setitik susu ibu demi memberikan yang terbaik untuk anak.

Seperti saya sendiri, penyusuan anak pertama dulu adalah memori yang amat berharga walaupun menyakitkan. Alhamdulillah berjaya juga atasi masalah-masalah penyusuan pada masa itu. Alhamdulillah.

Jika anda adalah ibu baru atau ibu yang baru ingin mencuba menyusu anak tak kiralah anak ke berapa sekali pun, saya ucapkan TAHNIAH dan semoga dipermudahkan urusan dalam penyusuan.

Saya ingin kongsikan beberapa kesilapan yang biasa dilakukan oleh ibu-ibu yang baru berjinak-jinak dengan penyusuan melalui pembacaan dan pengalaman saya berkongsi pengalaman menyusu selama 9 tahun ini.

Kesilapan Ibu Menyusu Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

Mungkin ibu-ibu tidak sengaja pun untuk melakukan kesilapan-kesilapan ini. Namun kadang-kadang ia berlaku dan menyebabkan ibu gagal untuk menyusukan anak dengan susu ibu sepenuhnya. Walhal semasa mengandung ibu beria-ia ingin memberikan susu terbaik untuk si manja.

1. Tunggu Payudara Bengkak

Payudara bengkak tandanya susu BANYAK!

Ini adalah antara kesilapan terbesar yang ibu lakukan. Menunggu sehingga payudara bengkak untuk menyusukan atau mengepam. Semakin lama semakin kita biarkan susu tidak dikeluarkan, makin lama susu makin berkurang.

Allah jadikan payudara ni sangat istimewa. Makin perlu mengeluarkan susu, makin banyak susu dihasilkan.

Ia bukan ikut konsep logik pemikiran kita. Makin guna, makin kurang. Salah sama sekali tanggapan seperti itu. Ia berkaitan dengan DEMAND vs SUPPLY (Permintaan dan Bekalan).

Makin banyak DEMAND, makin banyak SUPPLY. Makin banyak kita menyusu atau mengepam, makin banyak susu akan dihasilkan.

Saya ada satu kisah, kakak saya sendiri. Beliau ni memang serik terkena bengkak susu. Beliau memang takut dan ngeri sangat kalau terkena bengkak susu. Pantang anak tidur lama sikit beliau akan mengepam. Kerjanya mengepam dan mengepam. Dah laaa dulu-dulu kan nak dapat pam letrik tu susah dan mahal kan. Beliau hanya guna pam manual tapi tetap gigih mengepam siang dan malam. Tengah malam pun bangun mengepam. Walham beliau surirumah tau. Penuh susu perahan beliau dalam peti ais. Hehe.

Masa tu saya masih bujang lagi. Memang tak tahu tentang penyusuan ni. Jadi saya tengok jelah. Rupa-rupanya beliau sendiri pun tak tahu makin banyak pam makin banyak susu. πŸ˜€

Kesimpulannya, JANGAN tunggu payudara bengkak dulu baru nak menyusu atau mengepam, mesti buat sebelum payudara bengkak supaya susu dihasilkan lebih banyak.

2. Tidak Menyusu/Pam Dengan Kerap

Di awal kelahiran, kadang-kadang anak kita tidur sangat lama. Kejut-kejut pun tak nak bangun kan. Masa tu, kita tak boleh leka dan terbawa-bawa berehat juga sehinggalah anak bangun. Kalau dah lebih dari 3 jam. WAJIB pam jika anak tak nak bangun juga.

Sela masa yang terbaik antara waktu menyusu atau mengepam adalah 2-3 jam untuk pastikan payudara kita sentiasa bekerja untuk hasilkan susu. Ia akan berbalik kepada konsep DEMAND vs SUPPLY juga.

Teknik banyakkan susu badan
Pam/menyusu dengan lebih kerap mampu banyakkan penghasilan susu ibu.

3. Tidur Sepanjang Malam

Susu dihasilkan lebih banyak pada waktu malam. Ini kerana kita lebih tenang dan dapat berehat dengan baik jika anak kurang bangun malam. Bila anak tak bangun menyusu malam, kita pun tidurlah selena-lenanya pada waktu malam.

Rugi tau!

Waktu malam yang menginjak ke waktu pagi itulah waktu terbaik untuk kita mengepam atau menyusukan anak. Jika kita tidur sepanjang malam dan langsung tidak mengepam atau menyusu, percayalah selepas seminggu penghasilan susu kita akan merudum.

Jadi, elakkan tidur sepanjang malam tanpa menyusu atau mengepam. Bahaya!

4. Memperkenalkan Botol/Puting Tiruan Terlalu Awal

Ada di antara ibu yang memperkenalkan botol susu atau puting tiruan terlalu awal sehinggakan anak menolak untuk direct feeding. Ini akan menyebabkan anak terlalu selesa dengan puting botol susu atau puting tiruan berbanding berusaha untuk menyedut susu dari payudara ibu.

Sebaiknya direct feeding selama sebulan dan bulan kedua tu berpantang tu bolehlah perkenalkan botol susu sebagai persediaan ibu bekerja nanti. Seboleh-bolehnya elakkan menggunakan puting tiruan.

Puting Tiruan Mengganggu Penyusuan Susu Ibu

Ada banyak pendapat tentang penggunaan puting tiruan ini, ada kebaikan dan keburukannya. Namun jika ibu terpaksa menggunakan puting tiruan disebabkan anak kuat meragam dan tidak dapat ditenangkan, gunalah puting yang bagus secara terkawal.

Pendapat Dr Zubaidi Tentang Puting Tiruan

5. Tidak Menyediakan Diri Dengan Ilmu Penyusuan

Ramai ibu yang memandang remeh tentang ilmu penyusuan kerana menganggap menyusu anak adalah fitrah mudah untuk dilakukan. Mungkin benar bagi sesetengah orang dan penuh cabaran bagi sesetengah orang yang lain.

6. Tidak Mampu Mengawal Stres Dan Terlalu Penat

Penghasilan susu ibu akan terganggu jika ibu tertekan atau terlalu penat. Jadi, ibu menyusu harus mengawal stres dan berusaha untuk berehat secukupnya untuk memastikan penghasilan susu ibu lancar dan banyak.

7. Bergantung Kepada Susu Formula

Seawal melahirkan lagi ada ibu bapa yang sudah menyediakan susu formula di rumah. Secara psikologinya, ibu mudah untuk menyerah kalah jika berlaku apa-apa masalah atau halangan semasa menyusu.

Ini adalah daripada pengalaman saya sendiri semasa menyusukan anak pertama pada tahun 2008. Kesilapan saya adalah menggunakan botol terlalu awal dan menyebabkan anak menolak direct feeding. Apabila anak kurang direct feeding, susu semakin kurang dan terpaksa berikan susu formula. Sehingga menyebabkan hampir sebulan saya tidak dapat menyusukan anak saya dengan sempurna.

Namun akhirnya berjaya mengatasi semua cabaran dan dengan izin Allah, selepas sebulan berhempas pulas dengan pelbagai usaha, saya dapat merasai nikmat menyusukan anak sulung dengan susu ibu sepenuhnya. Alhamdulillah.

Saya kongsikan kesilapan ini supaya ibu-ibu tidak melakukan perkara yang sama seperti saya yang boleh menyebabkan kita rasa sangat menyesal.

8. Tidak Menjaga Pemakanan

Masih ada ke sekarang orang yang berpantang hanya makan nasi dengan ikan kering?

Atau

Makan nasi terlalu sedikit kerana nak diet?

Zaman sekarang ni mungkin yang kedua nilah kan? Semua orang nak kurus cepat lepas bersalin. Semua orang nak nampak cantik dan langsing semasa dalam pantang lagi.

Ya, saya faham. Namun usah memperjudikan rezeki susu ibu untuk anak tercinta. Makan terlalu sedikit atau makan makanan yang tidak seimbang akan mempengaruhi penghasilan susu ibu. Pemakanan ni sangat mempengaruhi pengeluaran susu ibu tau.

Amalkan pemakanan yang seimbang dan banyakkan pengambilan sayur-sayuran hijau untuk membantu ibu tambah susu serta melancarkan pengeluaran susu ibu.

Nak diet tu boleh tapi kena ada caranya dan kena tahu berapa keperluan kalori untuk ibu menyusu. Cari ilmu yang betul, diet dengan cara yang betul tanpa memudarakan diri sendiri serta anak yang dikasihi.

9. Kurang Minum Air

Jika diikutkan orang dulu-dulu, berpantang ni tak boleh minum air banyak. Nanti luka jahitan susah sembuh. Percayalah, itu MITOS semata-mata.

Jika kurang minum air, bagaimana nak susu banyak? Minum air mengikut keperluan seharian kita sebagai ibu menyusu. Barulah susu ibu dapat dihasilkan dengan baik.

10. Tidak Mendapat Sokongan Suami Dan Keluarga

Peranan suami dan keluarga adalah amat penting dalam menjayakan penyusuan susu ibu lebih-lebih lagi semasa berpantang. Dengan keadaan isteri yang masih sakit dan emosi yang belum stabil, ibu memerlukan sokongan penuh dan bantuan daripada suami untuk terus menyusukan anak walaupun ada masalah penyusuan.

Dengan sokongan dan kerjasama daripada suami serta keluarga, ibu lebih kuat dan lebih tenang dalam menghadapi sebarang masalah atau cabaran dalam menjayakan penyusuan. Percayalah. Isteri sangat kuat dengan sokongan daripada orang-orang tersayang terutamanya suami.

Kesilapan yang saya kongsikan ini adalah kebanyakannya kesilapan saya sendiri, kawan-kawan dan melalui pembacaan. Saya kongsikan kerana tidak mahu ibu-ibu membuat kesilapan yang sama seperti saya. Semoga semua ibu dapat menyusukan anak yang dilahirkan semudah hanya menghulurkan payudara kepada anak anda dan anak terus menghisapnya tanpa sebarang masalah.

Saya doakan semua ibu yang memang berniat untuk menyusukan anak dengan titisan emas kurniaan Allah ini BERJAYA menyusu dengan baik. InshaAllah.

Salam Sayang
Mama Laila Ismail

Share Button
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge